Semoga sahabat fitrah yang dikasihi berada dalam keadaan sihat walafiat.
solat adalah salah satu wadah untuk berdoa
Rasulullah s.a.w yang bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berbuat baik kepada kamu maka hendaklah kamu membalasnya. Kalau kamu tidak berdaya
membalasnya maka berdoalah selalu baginya sehingga kamu mengetahui bahawa kamu telah
berterima kasih kepadanya kerana Allah sentiasa membalas kebaikan (orang yang berbuat baik) lagi
mengasihi orang yang bersyukur.” (Riwayat Tabrani)
Dalam kehidupan kita seharian, kita tidak terlepas daripada tuntutan untuk berbudi
dan menerima budi dari orang lain. Di mana sahaja lokasi dan situasi, sama ada di rumah, pejabat
atau ketika susah atau senang, kita sebenarnya bergantung antara satu sama lain dan sama ada
kita sudi atau tidak kita harus belajar menabur budi dan juga menghargai jasa dan budi yang
diberikan oleh orang lain kepada kita.
Konsep berbudi terlalu luas untuk diberikan takrifan. Skop berbudi kepada orang lain tidak hanya
terikat kepada wang ringgit dan harta benda semata. Bahkan memberi sokongan, tunjuk ajar,
pengajaran, sokongan dan amalan baik juga dikira sebagai budi.
Satu perbezaan yang jelas antara insan yang menabur budi dan insan yang menerima budi ialah rasa
hormat, menghargai dan paling wujud rasa kesetiaan dan ingin membalas budi walaupun pada
kemampuannya tidak mungkin dapat membalas kebaikan yang diterimanya.
Membalas budi sebenarnya tidak terhad untuk memberikan kebaikan yang sama atau setaraf. Contohnya
satu masa kita pernah menerima bantuan kewangan ketika dalam kesusahan, tidak semestinya kita
perlu membalas budi kepada mereka yang pernah memberikan kebaikan tersebut dengan bantuan
kewangan juga. Seandainya tidak kemampuan dari segi itu, memadailah juga jika membalas kebaikan
yang diterima dengan mendoakan kebaikan untuk si budiman tersebut. Demikianlah kata-kata indah
pepatah melayu, “orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa.